Reman suspek bunuh isteri dilanjut
AMPANG: Polis semalam mendapat
perintah melanjutkan tempoh reman suspek kes bunuh seorang wanita,
Fazlina Ahmad, 39, yang ditemui mati dengan mayat dibungkus cadar,
mulut dan hidung ditampal pita pelekat sebelum disumbat dalam almari
pakaian di sebuah rumah di Taman Pinggiran Ukay, Ampang, dekat sini,
minggu lalu.
Majistret Azaraorni Abdul Rahman melanjutkan perintah tahanan
reman terhadap pengurus katering iaitu suami wanita terbabit, (gambar)
hingga 18 Januari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan
lanjut.
Pada 3 Januari lalu suspek ditahan ketika dia berjalan berseorangan dalam keadaan murung di Zoo Negara.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan,
berkata lelaki itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam, hasil maklumat
orang awam yang melihat suspek berjalan di pekarangan zoo.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kebimbangan seorang rakan membawa
kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai mati dibunuh suaminya
dalam kejadian di Pinggiran Ukay di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Rabu lalu, mangsa yang
bekerja sebagai eksekutif swasta, dipercayai dibunuh individu
dikenalinya antara jam 9 pagi dan 12 tengah hari.
Difahamkan,
mayat mangsa ditemui pembantu rumahnya yang mengesyaki sesuatu apabila
majikannya tidak keluar dari bilik tidurnya walaupun beberapa kali
dipanggil.
Tiada kesan jerut pada mayat mangsa kecuali
dibungkus dengan selimut disimpan dalam almari bilik tidur utama dan
mangsa dipercayai mati akibat lemas.
Arwah Fazlina dipercayai
dalam proses bercerai dengan suaminya, ditemui dalam keadaan menyayat
hati apabila mayatnya dibungkus dengan cadar dan disumbat dalam almari
baju di tingkat atas bilik utama rumah teres dua tingkat itu.