05 Januari, 2010 19:24 PM
Laluan Sukar Chong Wei Raih Gelaran Keenam Terbuka Malaysia
SHAH ALAM, 5 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berdepan laluan sukar untuk meraih gelaran keenamnya di Kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia 2010 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil dari 19 hingga 24 Jan ini.
Walaupun sekadar berdepan pemain England, Rajiv Ouseph di pusingan pertama, tugas berat pemain utama negara itu bermula di pusingan kedua dengan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan bakal menanti.
Seandainya berjaya melepasi halangan itu, Chen Jin dari China pula akan menanti Chong Wei di peringkat suku akhir manakala Taufik Hidayat (Indonesia) atau Bao Chunlai (China) turut menanti di peringkat separuh akhir.
Pesaing utama Chong Wei dari China iaitu Lin Dan pula dijangka tidak mempunyai masalah yang besar untuk mara ke perlawanan akhir apabila sekadar menentang pemain dari perlawanan kelayakan untuk pusingan pertama.
Tentangan paling besar mungkin akan menanti pemain nombor dua dunia itu pada peringkat separuh akhir dengan bertemu Simon Santoso (Indonesia) atau Peter Gade Christensen (Denmark).
Saingan sengit yang akan dilalui oleh Chong Wei itu turut diakui oleh ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang memang menjangkakan perkara itu kerana kebanyakan pemain China termasuk seteru utamanya, Lin Dan menyertai kejohanan itu pada tahun ini.
"Namun begitu saya tetap mengharapkan Chong Wei akan memberikan persembahan yang terbaik untuk meraih gelaran keenamnya di Siri Super Terbuka Malaysia pada tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini selepas undian kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai USD 250,000 (kira-kira RM846,250) itu.
Rashid berkata walaupun tahap pemain China lebih tinggi, pemain-pemain dari negara lain juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka juga boleh memberi kejutan kepada pemain-pemain ternama.
Mengenai kecederaan yang dialami Chong Wei, Rashid berkata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 itu telah pulih dan kini menjalani latihan seperti biasa.
"Beliau juga akan beraksi di Siri Super Terbuka Korea yang bermula Selasa depan dan saya yakin beliau telah bersedia sepenuhnya," katanya.
Chong Wei sebelum ini merupakan juara Siri Super Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009.
Sementara itu beregu lelaki nombor satu dunia, Koo Kean Keat-Tan Boon Heong dijangka tidak mempunyai masalah untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir.
Sekiranya berjaya ke peringkat separuh akhir, pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan yang merupakan pilihan ketiga kejohanan itu dijangka menanti.
Pencabar utama Kean Keat-Boon Heong iaitu pasangan nombor dua dunia, Jung Jae Sung dan Lee Yong Dae dari Korea Selatan pula dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengetepikan halangan bagi menempah tiket ke perlawanan akhir.
-- BERNAMA