Begitupun, Faizal menolak keras dakwaan itu malah mengakui majlis perkahwinan berlangsung lancar dan mendapat restu ibu bapa mereka berdua. Cuma dia tidak mahu soal peribadi termasuk majlis perkahwinan dihebohkan begitu juga mengenai tidak mengundang media.
Terus merahsiakan apa sebenarnya yang berlaku, dia berkata hidupnya kini bahagia. Bagaimanapun, dia belum bersedia memperkenalkan isteri kepada media demi menghormati permintaan keluarga. Bagi Faizal kerjaya seni tumpuan utamanya dan cerita peribadi biarlah menjadi hak miliknya sendiri.
"Sebenarnya apa yang saya lakukan adalah ke arah kebaikan. Tidak timbul soal membelakangi sesiapa dalam hal ini. Sudah tentu saya mahu berkongsi hari bahagia bersama keluarga, saudara dan kenalan.
"Apa yang boleh saya maklumkan setakat ini, kehidupan peribadi dan kerjaya seni saya berjalan dengan baik. Apapun kita tunggu majlis sidang akhbar yang akan diadakan pada 21 Disember ini untuk menjelaskan segala kekusutan yang berlaku," katanya.
Ketika dihubungi Faizal dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah untuk menghadiri sesi promosi filem terbaru lakonannya, Pulau Asmara. Sesi promosi untuk filem terbitan syarikat Alakazam Production Sdn Bhd (Alakazam Production) itu akan diteruskan ke Pulau Langkawi dan Kuantan, Pahang.
Faizal yang bernaung di bawah syarikat rakaman Alakazam Production berkata dia tidak berniat untuk merahsiakan mengenai kehidupan peribadinya. Walaupun ada yang membuat andaian negatif terhadap perkahwinannya itu termasuk kononnya dia dan pasangannya ditangkap khalwat.
"Apa yang saya buat ini tidak mahu mengganggu kehidupan dan ketenteraman keluarga kedua-dua belah pihak. Fokus utama sekarang pada bidang seni. Apatah lagi ketika ini perjalanan seni saya semakin lancar. Saya tidak mahu orang salah anggap dengan apa yang berlaku. Tambah pula tidak perlu ada pihak yang cuba menghuru-harakan keadaan," katanya.
Teraju filem Pulau Asmara itu dijangka tampil bersama album solo tidak lama lagi juga menerusi syarikat Alakazam Production. Kepercayaan yang diberikan rumah produksi itu, memberi nafas baru kepada Faizal yang sebelum ini dilabel antara artis yang sukar dihubungi dan berdepan masalah disiplin.