Pada tarikh 12 Disember lalu, secara rasminya menyatukan Aien dan pasangannya, Datuk Arif Ambrose Leonard Ng (Arif), 41, sebagai suami isteri.
Pasangan yang mempunyai jurang usia 11 tahun ini dinikahkan Pendaftar Kanan Nikah Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Daerah Petaling, Mohd Sujak Mohamad Dasuki, tepat jam 1.45 petang dengan hanya sekali lafaz.
Majlis pernikahan yang diadakan secara sederhana itu berlangsung di Masjid Negeri Shah Alam, Selangor bersaksikan keluarga terdekat dan sahabat handai.
Sesudah akad dilafazkan, bermakna bermulalah episod baru dalam kehidupan Aien. Menjadi isteri kepada seseorang berstatus Datuk bererti Aien bakal disapa gelaran Datin.
Dalam menuntut perkara baru bakal ditempuhi, corak kehidupan Aien berubah kerana sebagai isteri Aien menjadi cermin kepada keluarga.
Tanggungjawab tambah berat apabila suaminya adalah saudara baru dan memeluk agama suci sekitar Jun lalu. Sebelum memperoleh zuriat sendiri, Aien juga perlu mempersiapkan dirinya sebagai ibu untuk menerima tiga anak Arif hasil perkahwinan dengan bekas isteri.
Akui Aien, dia menerima siapa pun Arif mahupun kisah lampaunya dan berusaha menjadi isteri yang terbaik buat suaminya itu.
"Sebelum mengambil keputusan ini (berkahwin) saya sudah mempertimbangkan baik, buruk dan berfikir semasak-masaknya.
"Soal agama, misalnya, saya selalu mengingatkan Arif dia perlu mencintai agama saya (Islam) terlebih dulu dan kemudian, barulah mencintai saya. Ini kerana sebagai ketua keluarga dia perlu membimbing saya dan anak-anaknya.
Perkara asas yang saya tahu, saya kongsi bersamanya. Bagaimanapun, saya bersyukur sejak Arif memeluk Islam saya lihat dia berminat untuk mengenali agama suci ini dengan lebih mendalam dan rajin bertanya kepada teman-teman," katanya.
Aien kelihatan ayu dengan persalinan rekaan Cosry ketika ditemui selepas majlis pernikahan itu, melahirkan kelegaan sekali gus memanjatkan syukur kerana majlis dapat dilaksanakan dengan baik.
"Tiada lagi gementar cuma masa ada sedikit perasaan terperanjat maklumkan tidak pernah melalui saat ini dan seolah tak percaya sekarang sudah bergelar isteri orang.
"Harapan saya moga perkahwinan ini berkekalan selain mengharapkan dapat menjadi isteri taat dan ibu yang baik kepada suami serta anak kelak," katanya.
Mengharapkan kehadiran cahaya mata secepat mungkin bagi melengkapi rumah tangga mereka, Aien berkata, dia mengenali Arif melalui seorang sahabatnya dua tahun lalu. Awalnya, mereka sekadar teman biasa, namun melihatkan kejujuran, kelucuan, kematangan dan sifat tanggungjawab yang dipamerkan Arif membuatkan hatinya terpikat.
"Orang perempuan biasalah ada masa mengada-ngada dan kuat merajuk. Saya sendiri seorang yang mudah baran, namun Arif pandai meredakan hati saya dan dia memang cukup sabar melayani kerenah saya.
"Mungkin kerana Arif seorang yang matang dan mudah diajak berbincang. Dalam semua hal, cukup sekali saja saya kata dia sudah faham. Paling membuatkan saya jatuh hati dia mengambil berat dan menjaga saya seperti mengasihi anaknya," katanya.
Pada majlis pernikahan itu, pihak lelaki membawakan sembilan dulang hantaran berisi al-Quran, telefon bimbit (Vertu), beg tangan jenama Louis Vuitton, coklat Patchi, kek, telekung, alat solek Channel, sirih junjung termasuk sebentuk cincin Chopard.
Sementara dibalas 11 dulang oleh pihak pengantin perempuan yang berisikan al-Quran, telefon bimbit (Vertu), coklat Patchi, buah-buahan, kek, baju/tali leher jenama Gucci, sirih junjung sirih, pewangi Bulgari, pen Dunhill dan cincin.
Pun begitu, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan bahkan cek yang diberikan juga kosong tanpa sebarang tulisan serta angka tertera di atasnya.
Arif yang juga ahli perniagaan berjaya, sewaktu menjelaskan hal ini, berkata, harga diri bukanlah sesuatu yang boleh dinilai dengan wang dan disebabkan itu dia masih membiarkan cek berkenaan kosong dan akan berbincang dengan bapa mentua, Rahmat Mohamad, selepas majlis akad nikah.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk meletakkan harga terhadap isteri kerana harga diri dan hadirnya Aien dalam hidup saya terlalu berharga. Material pada saya tidak begitu penting.
"Apa yang lebih utama, bagaimana kita menjayakan sesebuah perkahwinan dan melayari rumah tangga yang bahagia dan harmoni," katanya.
Tertawan dengan sikap Aien yang matang dan penyayang, Arif melihat ciri-ciri yang dimiliki wanita bermata galak itu melengkapi keperluan yang perlu dipunyai seorang isteri.
"Semakin mengenalinya, saya dapati kami berkongsi banyak persamaan. Perkara yang saya gemar lakukan Aien juga suka. Disebabkan itu setiap kali kami keluar, saya tidak pernah bosan.
"Seorang suami tentu saja memerlukan seorang wanita di belakangnya dan dengan apa dimiliki Aien saya tidak pelik kenapa saya boleh jatuh cinta kepadanya," kata ahli perniagaan berstatus duda anak tiga ini.
Katanya, dia dan Aien juga belum memutuskan tarikh mahupun majlis persandingan akan diadakan. Apa yang pasti majlis itu akan dilangsungkan awal tahun depan.
Sementara Aien pula memaklumkan hasrat hatinya untuk berbulan madu dengan menunaikan umrah.
"Saya mahu bawa Arif melihat kebesaran Allah SWT dan agama Islam yang baru dipeluknya. Mudah-mudahan ia juga mendatangkan kesedaran kepada saya kerana saya sendiri belum pernah menjejakkan kaki ke sana.
"Cuma, bila kami akan pergi saya tidak pasti. Semuanya bergantung pada jadual kerja Arif kerana dia sering sibuk," katanya.
Pada majlis pernikahan itu, Mawi tidak kelihatan dan pihak media difahamkan oleh Ekin bahawa suaminya berada di Pulau Pinang kerana terbabit dengan pelancaran cawangan terbaru, Marry Brown, di negeri itu.
Bagaimanapun, majlis tetap berseri dengan kehadiran dramatis, Datin Noniswara, Along Raja Lawak dan tunangnya, Zila.