Haikal membuka matanya perlahan-lahan. Sinaran matahari yang mencuri masuk di celah-celah langsir, menyilaukan pandangannya. "Aduh!" Haikal menyeringai menahan rasa sakit di kepalanya yang masih bersisa. Mesti banyak aku minum malam tadi!
Apa aku buat kat sini? Matanya melilau memerhati sekitar bilik. Ini bilik Aina! Haikal termenung panjang. Pandangannya jatuh di atas tilam tempat dia berbaring. Kerutan cadar dan bantal yang bergelimpangan, mengundang tanda tanya di wajahnya. "Apa yang aku dah buat pada Aina?" Haikal berbisik sendirian. Dia bagaikan sudah dapat mengagak apa yang berlaku namun jauh di sudut hatinya berdoa, bukan itu yang terjadi!
Pukul 11 pagi? Lewatnya aku bangun. Mujur juga hari ini dia sememangnya tidak bekerja. Haikal melangkah longlai menuruni anak tangga. Terasa lemah seluruh badannya. "Ya Allah! Baru bangun ke tuan putera ni?" Haikal tergamam. Adoi! Bila masa ibu datang ni? Tok Ayah pun ada?
"Ibu? Eh? Bila sampai?" Hajah Endon mendengus geram. Mesti budak ni dah lupa! Dah banyak kali dia menelefon mengingatkan tentang kedatangannya ke sini. "Bila sampai? Bukan ke sepatutnya Kai datang jemput ibu kat pudu raya? Mujur juga ibu dan Tok Ayah menumpang kereta Si Razak yang kebetulan nak datang ke KL. Kalau tidak, sampai berjanggutlah ibu menunggu!" Haikal tersengeh. Kepalanya di garu beberapa kali. Sakit kepala pun masih belum hilang, ibu dah serang aku! Adoilah! Makin bertambah beratlah kepala aku nih!
"Muka pun masih belum berbasuh! Ni mesti sembahyang Subuh pun dah terbabas!" Kena lagi! Sabar jelah! To Ayah yang duduk di sofa hanya menguntum senyum. "Bila ibu nak balik?" Soal Haikal. Punggungnya dilabuhkan disisi Hajah Endon. "Aik? Baru je ibu sampai dah tanya bila nak balik." Haikal tergelak. Tak habis-habis lagi ibu ni!
"Kami singgah sat je Kai. Sat lagi si Razak tu mai sini jemput tok dengan mak hang. Atok tak boleh nak dok lama-lama kat sini, budak-budak tu nak belajaq mengaji." Lama terdiam, Tok Ayah bersuara.
"Hang pa berdua lagu mana la ni ?" Haikal terdiam. Macam mana nak jawab? "Errrr…..Kami berdua elok je Tok! Bahagia. Alhamdulillah!" Bahagia? Adoi! Menipu lagi aku dengan Tok Ayah. Hajah Endon tersenyum. Eloklah kalau macam tu! "Aina sakit ke Kai? Pucat je muka dia! Tak bawa Aina jumpa doctor ke? Manalah tahu kot-kot pucat tu pucat 'berisi' pulak!" Haikal tersengeh. Amboi ibu! Dah tak sabar nak menimang cucu nampak! Aku jugak yang teruk!
Aina muncul menatang minuman. Haikal segera melarikan pandangannya. Entah apa perasaannya saat itu! Malu ke aku dengan Aina setelah apa yang berlaku malam tadi? Entah apa anggapan Aina pada aku agaknya? Ah! Lantaklah! Peduli apa aku!
"Kai! Kai!" Semua mata terarah ke muka pintu. Samad! Hampeh! Apa pulak mangkuk tu buat kat sini? Kelam kabut Haikal bangun. "Engkau nak apa nih!" Tubuh Samad ditolaknya kasar. Samad tersengeh. "Orang tua aku ada kat dalam! Kau nak apa nih? Cepatlah cakap! Yang ko dok tersengeh tu apa hal?" Angin je aku dengan mangkuk nih! Kalau setakat nak tunjuk gigi engkau yang rongak tu baik tak yah! "Errrr…… Kita ada masalah besar Kai!" Masalah besar? Muka ko tu cam tak de masalah je! Sengeh memanjang! "Apa halnya?"
"Pasal Mail! Dia berdendam dengan kau sejak hari tu! Semalam, habis budak-budak kita dikerjakannya. Tempat yang kita selalu race tu, rosak teruk! Entah apa entah yang dia buat!" Termengah-mengah Samad bersuara. Teruk betul Kai ni! Tak nak pelawa aku masuk ke? Dah penat aku berdiri nih! Bau harum kopi menggamit-gamit hidungnya.
Haikal terdiam. Apa lagilah Si Mail tu, tak habis-habis lagi ke? "Sapa tu Kai? Awat tak suruh dia masuk!" Kedua-duanya tersentak. Hajah Endon sudah berdiri di muka pintu. "Errr……Kawan Kai ibu!"
"Makcik! Apa khabar?" Samad tersengeh sambil menghulurkan tangannya. "Baik nak! Eh? Masuklah! Boleh kita minum sama-sama" Sengeh Samad makin melebar. Heh! Tak sia-sia buat baik dengan mak Haikal. Dapat minum free! Haikal mengetap bibir menahan geram. Budak Samad ni memang nak kena agaknya!
"Ibu! Kai keluar kejap ye!" Aik? Aku belum sempat duduk lagi dah nak keluar? Minum pun belum! Dahi Samad mula berkerut. "Jom! Samad!"
"Nak pergi mana pulak ni?" Hajah Endon merenung lama. "Ada hal sikit! Ibu tak payah tunggu Kai. Hujung minggu ni Kai bawa Aina balik kampung!" Hajah Endon terdiam. Kenapa dengan Haikal ni? "Kenapa dengan Kai, Aina?"
"Mungkin abang ada hal agaknya. Tak pelah ibu, abang dah janji nak bawa Aina balik kampung. Nanti esok bolehlah kita sembang lama-lama" Aina tersenyum lembut.
****************
"Kai! Sudahlah tu!" Jerit Zamri kuat. Tubuh Haikal ditariknya ke belakang. Cuba menjauhkan dari Mail yang sudah lembik dikerjakannya. Haikal termengah-mengah menahan nafas. Tangannya dipekup pada rusuk kiri yang sudah berlumuran darah akibat dari tikaman Mail tadi. "Kai! Dahlah! Mati pulak budak tu kang!!!!" Jerkah Zamri geram tatkala melihat Haikal yang masih cuba bangun untuk memukul Mail.
"Samad! Kau hantar Mail gi hospital ! Pasal Haikal biar aku yang uruskan!" Samad mengangguk laju. "Cepat geng! Tolong aku!" Masing-masing sibuk menolong Samad mengangkat Mail ke dalam kereta.
Zamri menarik nafasnya dalam-dalam. Apalah nak jadi dengan kau ni Kai! Dia mendail laju nombor telefon Ziela. "Ziela tolong abang kejap. Abang on the way gi rumah Kai. Ziela pergi sana sekarang ye! Cepat sikit!" Klik! Talian telefon dimatikan segera.
"Kai! Kai! Kau sedar tak ni?" Tubuh Haikal yang kian lemah digoncangnya beberapa kali. "Aku sedarlah bodoh! Aku bukannya nak mati lagi!" Zamri mengetap bibirnya. Geram! Huh! Tak serik-serik budak nih!
Aina resah memandang jam di dinding. Ibu dan Tok Ayah dah lama pulang, namun kelibat Haikal masih belum kunjung tiba. "Assalamualaikum!" Aina menerpa ke muka pintu. Ya Allah! Gadis itu kaku berdiri tatkala melihat Haikal yang longlai dipapah oleh Zamri dan Ziela. "Aina! Tolong ambilkan saya kain bersih dan air suam! Cepat sikit!" Ziela bersuara tegas. Tangannya sudah ligat membuka t-shirt yang membaluti tubuh Haikal.
Aina kelam kabut ke dapur. Terketar-ketar tangannya menggagau barang yang diminta oleh Ziela. Tuhanku! Lindungilah suamiku, nyawaku! Bibirnya tidak putus-putus berdoa. Sesekali Haikal mengaduh menahan sakit setiap kali lukanya disentuh. Dan setiap kali bunyi suaranya mengaduh, hati Aina bagai dicarik-carik.
Ziela menarik nafas lega sebaik selesai menjahit luka di rusuk Haikal. Balutan kain diikatnya dengan kemas. Wajah Haikal yang masih berkerut menahan sakit itu, dipandangnya penuh belas. Tak perasan kah lagi Haikal tentang perhatian yang dia tunjukkan? Ah! Sukarnya menduga hati lelaki ini!
Aina tergamam! Zamri pula terkedu melihat perlakuan Ziela yang tiba-tiba mengucup dahi Haikal. Ah! Sudah! Biar betul budak Ziela nih! Zamri menarik nafasnya dalam-dalam, menahan sesak di dadanya. Dan, Haikal yang masih sedar itu, tersentak!
Wajah Aina yang berada dihadapannya, di curi pandang. Ternyata riak di wajah gadis itu berubah! "Abang Kai rehat lama-lama sikit ye. Luka tu perlukan masa untuk sembuh. Nanti Ziela datang lagi but U can call me anytime, if U need me!" Wajah Haikal dibelai lembut. Dia bagaikan terlupa mata yang terbuntang memandang tingkahnya!
"Sudah lah tu Ziela! Jom balik!" Tangan Ziela segera di raihnya. Bimbang perlakuan Ziela akan pergi lebih jauh. Kot ye sukakan Si Haikal pun, cover-cover lah sikit. Hish! Budak-budak perempuan zaman sekarang ni tak tahu malu ke?
Ziela tersenyum malu. Baru perasan tindakannya tadi menjadi perhatian. "Aina, nanti bagi abang Kai makan ubat ni tau! 3 kali sehari. Ubat ni mesti dihabiskan. Kalau ada apa-apa yang berlaku, jangan lupa call saya!" Aina menganggukkan kepalanya. Sedaya upaya memberi senyuman buat Ziela biar pun hati bagaikan dihiris!
"Aku blah dulu Kai! Kau tu berehat kat rumah! Dah tahu diri tu sakit, jangan buat benda yang bukan-bukan lagi!" Kepala Haikal ditunjalnya beberapa kali. Sial kau Zam! Mentang-mentanglah aku sakit! Zamri tersengeh! Sengaja dia berbuat demikian. Kalau masa sihat jangan harap nak menunjal kepala budak ni! Siapa tak kenal Haikal, pemegang tali pinggang hitam seni mempertahankan diri karate. Pernah sekali dia melihat Haikal memecahkan 3 biji bata dengan sekali hentakkan tangannya sahaja. Itu sebab budak-budak yang lain akan menikus setiap kali Haikal naik angin. Takut beb! Kang tak pasal-pasal badan pun boleh pecah dua!
Haikal cuba memejamkan matanya, namun rasa sakit bagaikan menucuk-nucuk tubuhnya. Haikal tergamam tatkala tangan Aina menjamah lembut lukanya. Lama tangan gadis itu di situ. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Baca jampi ke? "Aina buat apa ni? Apa yang Aina jampi kat abang?"
"Bukan jampi tapi Aina baca ayat-ayat dari surah Al-Fatihah dan Al-Imran. Moga-moga luka abang cepat sembuh!" Haikal terdiam. "Aina tak sepandai Ziela yang boleh merawat luka abang. Hanya itu yang Aina mampu lakukan untuk abang." Lirih suara Aina bagaikan menikam hatinya. Haikal melepaskan nafasnya perlahan. Marah kah gadis itu dengan aku? Tetapi bukan salah aku! Ziela yang mengada-ngada nak mencium aku!