Menara atas awan DUBAI membuka secara rasmi mercu
tandanya, Burj Khalifa, sebagai bangunan tertinggi di dunia dengan
iringan pertunjukan bunga api dan laser, Isnin lalu.
TINGGI...Burj Khalifa di tengah bandar raya Dubai.
CANTIK...pemandangan pada waktu petang.
Setinggi hampir satu kilometer (828 meter), bangunan itu pada
asalnya digelar Burj Dubai (Menara Dubai) sebelum ditukar pada majlis
perasmian menjadi Burj Khalifa sebagai menghargai pemerintah Abu Dhabi
merangkap Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed
al-Nahyan, yang menghulurkan bantuan kewangan untuk menyelamatkan
ekonomi Dubai.
Bangunan ‘bandar raya tegak’ itu disiapkan
selepas RM5.1 bilion dibelanjakan untuknya, menyediakan ruang apartmen
mewah, pejabat dan hotel yang direka cipta Giorgio Armani.
Selain
mencatat rekod sebagai bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa juga
memiliki keistimewaan lain, termasuk menyediakan masjid (di tingkat
158) dan kolam renang (di tingkat 76) tertinggi di dunia.
Bagi
pihak yang menyokong pembinaan Burj Khalifa, mereka mahu menjadikan
binaan itu sebagai monumen terhadap semangat Dubai Boleh yang mampu
mengatasi apa saja halangan.
Masalahnya, ia disiapkan pada masa yang salah.
Ekonomi
Dubai - satu daripada tujuh negeri yang bersatu dalam Emiriah Arab
Bersatu (UAE) - goyah kesan krisis kewangan dialaminya.
Keadaan itu menyebabkan harga hartanah di Dubai merudum hampir separuh sepanjang tahun lalu.
Ia adalah kesan kepada dasar pinjaman mudah kerajaan serta penawaran bangunan yang keterlaluan.
Tokoh
yang bertanggungjawab menyelamatkan keadaan adalah Presiden UAE
merangkap pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Zayed al-Nahyan, yang
mengepam puluhan bilion ringgit pada tahun lalu untuk membolehkan Dubai
membayar hutang ditanggungnya.
Pembukaan rasminya pada Isnin lalu juga mendedahkan rahsia paling berharga pada Burj Khalifa, iaitu ketinggian rasminya.
Pada
ketinggian 828 meter, ia berada 305 meter lebih tinggi daripada pesaing
terdekatnya, Taipei 101 di Taiwan yang menjadi bangunan tertinggi di
dunia sejak 2004.
Bangunan tertinggi di Amerika Syarikat, Menara Willis di Chicago, hanya setinggi 527 meter.
Menara
Kebebasan yang dicadang dibina di tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu
dirancang setinggi 541 meter dan dijangka siap pada 2013.
Jumlah tingkat di Burj Khalifa masih tidak diketahui dan mungkin membayangkan bagaimana pemaju memilih untuk menentukannya.
Pengerusi
Emaar Properties yang menjadi pemaju menara itu, Mohammad Alabbar,
sebelum ini berkata ada lebih 200 tingkat di bina di dalamnya.
Bagaimanapun, kenyataan itu diperbetulkan dan mendakwa hanya ada 165 tingkat boleh diduduki.
Pemaju juga yakin dengan tahap keselamatan bangunan itu.
Pengarah
Projek Emaar Properties, Greg Sang, berkata ada ruang perlindungan
kalis api pada setiap 20 hingga 20 tingkat bangunan itu.
“Ia juga menyediakan bekalan udara berasingan jika berlaku kecemasan,” katanya.
Struktur
konkrit yang menjadi binaan Burj Khalifa pula diperkuatkan, menjadikan
ia lebih kukuh berbanding bangunan diperbuat daripada besi.
“Sebuah kapal terbang tidak akan mampu menembusinya seperti berlaku pada WTC,” katanya.
Profesor
kejuruteraan di Kolej Imperial di London, Ahmed Elghazouli, berkata
sejumlah jurutera terbaik dunia terbabit dalam pembinaan Burj Khalifa,
selain menjalani ujian terperinci bagi memastikan kekukuhannya.
“Saya pasti setiap aspek diberi perhatian,” katanya.
Pembinaan
sejumlah projek mega turut mengubah lanskap Dubai daripada sebuah
perkampungan nelayan yang suram satu generasi lalu, menjadi pusat
komersial yang berkembang maju di Timur Tengah dalam tempoh dua dekad
terakhir ini.
Dasar mesra bisnes, jaminan keselamatan dan curahan pelaburan asing membolehkan transformasi itu berlangsung dengan lancar.
Mohammad Alabbar berkata, 90 peratus daripada ruang dalam Burj Khalifa - termasuk kediaman dan pejabat - berjaya dijual.
Ketika ekonomi Dubai berkembang pesat, sesetengah apartmen dalam Burj Dubai dijual pada harga RM6,460 satu meter persegi.
Ketua
eksekutif firma perunding hartanah, Investment Boutique, Heather
Wipperman Amiji, berkata sesetengah pembeli mungkin menghadapi
kesukaran mendapatkan penyewa bagi ruang mereka.
Selain kekangan kewangan, faktor caj perkhidmatan yang terlalu tinggi turut memberi kesan kepada pertimbangan penyewa.