Aku terpanggil untuk menitipkan serba sedikit dan berkongsi pengalaman dalamana persiapan untuk menjadi raja sehari perlu dirancang penuh ketelitian agar semuanya berjalan dengan lancar tanpa meninggalkan sebarang kemelut dan masalah. Mudah-mudahan dengan sedikit panduan yang digariskan ini bakal mengundang lebih ramai lagi pasangan diluar sana menjadi komuniti suami isteri. 1. Kos hantaran pasti menjadi bualan. Dengan perubahan harga minyak dan kenaikan harga getah dipasaran secara tidak langsung meningkatkan wang hantaran sekaligus. Dari pengamatan aku, kos terkini melamar anak dara adalah disekitar RM 6,000 dan keatas. Oleh yang demikian, tatkala berlangsungnya majlis pertunangan, tawar menawar perlu dilakukan agar kita tidak dibebani dengan isu ini. Kita bukan berurusan jualbeli, tetapi tuntutan agama menjadi tiang seri. 2. Kos kenduri bagi meraikan hari persandingan pasti memerlukan kos yang tinggi. Justeru, rancang corak bagaimana meraikan hari gemilang kita, bagi yang berkemampuan pasti keluarga boleh membantu. Yang penting, ikut kemampuan diri atau ukur baju dibadan sendiri. Lebih menjimatkan sekiranya sajian dimasak sendiri berbanding menggunakan perkhidmatan caterer yang tumbuh bagai cendawan. Tidak kurang RM 8,000 dibelanjakan bagi jemputan seramai 500 orang. Fikir-fikirkanlah..nak lebih mudah, kenduri ala-kadar pasti menjimatkan. 3. Bila sebut bersanding, pasti kita tidak dapat lari dari kos pelamin, betapa hebatnya kita diraikan akan terpancar dua sejoli diatas singgahsana. Ada yang berhabisan dipelamin demi sekali seumur hidup. Tepuk dada tanya selera, nasihat aku...pelamin tidak perlu gah kerana kos pasti mencapai RM 2,000 untuk hiasan yang tidak dipakai lama. 4. Pernah saksikan cerita' wedding planner' atau bahasa kita mak andam. Mak andam adalah orang yang paling signifikan dalam urusan perkahwinan. Bagi wanita, beliau ini menentukan wajah kita dihari perkahwinan kelak. Segala aksesori dan kosmetik hari gemilang disewa segalanya. Demi memeriahkan lagi, upacara photografi dengan pakaian beraneka pasti menjadi pilihan hati. Terpulang kepada anda semua yang menentukan. Dari pengalaman saya dan teman-teman, kosnya hampir mencecah RM 2,000 bersih dan kita boleh lihat mak andam tersenyum puas mengira upah dinikmati. 5. Persiapan majlis walimatul urus bukan mudah dilaksanakan, yang datang membantu pasti menyerikan majlis kita ini. Pasti kita tidak lupa kos persiapan seperti kad jemputan, bunga telur, khemah, kerusi meja, penanggar, duit rokok, kompang dan sebagainya. Sejak akhir-akhir ini, aturcara majlis diserikan dengan karaoke, tari menari dan juga kugiran yang ditempah khas. Ini semua pasti memerlukan pengorbanan wang RM. Sila sediakan RM 6,000 bagi prasarana yang diceritakan tadi. Anda yang mengatur semuanya. 6. Lafaz nikah pasti menjadi bukti kita sebagai pasangan suami isteri. Yang belum menghadiri kursus perkahwinan, adalah disarankan berbuat demikian. Kos upah tok kadi dan saksi berserta mas kahwin mesti berada dalam poket kita sentiasa. Sehabis lafaz, sila jangan malu dan segan hulurkan habuan mereka ini. Dalam sampul kita selitkan RM 100 setiap seorang. Mas kahwin ikut aturan negeri masing-masing, yang berkemampuan demi kasih sayang kepada isteri, hadiah gelang dan cincin bertkahta permata pasti menjadi habuan dan ikatan kasih abadi. Begitulah diantara beberapa kos yang terbabit dalam kerangka pelan perkahwinan.