Rahsia Daun Sirih
Cantik bukan hanya pada wajah menawan atau penampilan diri bergaya tetapi kecantikan sebenar terletak pada keindahan dalaman.
Sirih antara tanaman yang banyak digunakan dalam perubatan selain bahan penting untuk hantaran atau proses peminangan.
Masyarakat India dan Cina turut menggunakan sirih.
Pengasas Bio Sireh Cosmetics, Sheikh Paiman Salleh membongkar khasiat sirih, antaranya:
* Dalam tulisan Luqman al-Hakim dalam kitab lama mengisahkan ketika Hawa dicampakkan ke bumi (dikatakan tercampak ke Selatan India dan kini dikenali sebagai Sri Lanka), Hawa berasa malu dan tumbuhan yang ada pada masa itu adalah sirih (masa itu dikatakan daunnya sebesar dulang) untuk menutupi alat sulitnya.
* Jika diteliti sehelai daun sirih, bentuknya dikatakan seakan-akan bentuk kemaluan wanita. Bahkan ada yang mengatakan ia berbentuk peta negara India dan kebetulan salasilah penemuan awalnya di India.
* Disifatkan sebagai daun yang paling baik untuk perubatan dan membantu memperbaiki sistem peranakan. Justeru, ia banyak digunakan untuk penyucian alat sulit kerana sifatnya sebagai pembersih dalaman.
* Membantu menyembuhkan hidung berdarah dengan hanya menggunakan sehelai daun sirih. Daun dilipat kecil dan sumbatkan ke dalam hidung dengan mendongakkan kepala pesakit.
* Dulu ia menjadi hidangan menyambut tetamu dengan meletakkan setepak sirih dilengkapi pinang, kapur dan gambir.
* Fungsinya boleh membantu menaikkan seri wajah, airnya untuk membantu kekuatan dalaman dan cucian tempat sulit wanita. Selain itu, ia digunakan untuk tujuan awet muda.
* Baik untuk perubatan kebatinan yang banyak digunakan bomoh tradisional.
* Sifatnya yang pedas dan dedar (seperti bunga cengkih), menjadikannya sesuai sebagai pewangi mulut.
* Kanak-kanak yang bermasalah kembung perut dan menangis tidak henti-henti, boleh mengambil beberapa helai daun sirih lalu diletakkan pada perut bayi.
* Simbolik adat dalam peminangan dan perkahwinan orang Melayu atau majlis rasmi pejabat.
* Dikatakan mempunyai aura jika ada lelaki atau wanita yang belum ketemu jodoh apabila mereka menemui ‘sirih bertemu urat’. Jika ditemui segera, cepatlah orang itu bertemu jodoh.